Friday, November 7, 2008

ERGONOMIK DALAM TEKNOLOGI PENDIDIKAN

Menurut Henry Ellington et.al (1995), Teknologi pada asasnya merangkumi pelbagai aspek iaitu yang pertama Teknologi sebagai Objek yang terdiri daripada mesin-mesin elektronik dan alat-alat, senjata dan seumpama. alat-alat ini sebenarnya melibatkan penggunaan tenaga manusia bersama mesin-mesin untuk menghasilkan sesuatu bahan. Kemudian kita beralih kepada Teknologi sebagai Pengetahuan iaitu bagaimana teknologi inovasi ini dapat menyampaikan maklumat menerusi internet dan mudah didapati kepada mereka yang memerlukan kepadanya.
Seterusnya Teknologi sebagai Aktiviti, iaitu manusia menggunakan teknologi untuk melakukan kerja dengan lebih teratur dan kemas, meningkatkan lagi kemahiran yang ada ke tahap yang lebih baik dan berkualiti serta digunakan sebagai persidangan untuk forum-forum yang membincangkan seseuatu hal melibatkan pihak-pihak yang jauh dan sukar ditemukan pada suatu tempat tetapi mampu menghasilkan penghasilan gerak kerja yang berkualiti. Kemudian Teknologi juga sebagai Proses iaitu menjadi satu daya keperluan dan kemudiannya diakhirinya dengan penyelesaian. justeru itu, Teknologi bertindak sebagai Sistem Manusia (Sosiatechnical) iaitu gabungan objek lain dengan manusia contohnya pembelajaran jarak jauh (PJJ) menerusi internet dengan lebih mudah dan menjimatkan.
Pada sudut yang lain pula, penyesuaian kepada perubahan persekitaran di tempat mengajar adalh titik tolak kejayaan untuk mendidik pelajar dengan lebih berkesan. Ia sebenarnya adalah hasil dari guru yang ‘transform’ diri mereka bukan dari segi zahir tetapi mental untuk merubah sesuatu keadaan yang sebelumnya amat berbeza dengan situasi tersebut namun akhirnya dapat diatasi apabila guru berjaya merubah gaya penyampaian yang sesuai dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam dan luar sekolah kepada para pelajar (Hishammuddin Tun Hussein, 2005).
Falsafah pendidikan yang menekankan perkembangan potensi individu dari segi JERIS iaitu jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosialnya telah mengilhamkan kerajaan untuk mewujudkan sekolah bestari yang lengkap dengan teknologi terkini hasil aplikasi perdana koridor raya multimedia bagi memperbaiki sistem pendidikan yang sedia ada agar dapat melahirkan masyarakat yang berdaya maju dan produktif dalam menghadapi cabaran alaf baru (Ee Ah Meng, 1999).
Bagi memastikan terdapat hubungkait di antara teknologi (rekabentuk perkakasan komputer) dan ergonomik, saya telah memilih foktor ergonomik dalam aspek perkomputeran yang berkaitan dengan isu kepenggunaan dan rekabentuk perkakasan. Ergonomik di dalam istilah penyelidikan merangkum merekabentuk program, sistem dan perkakasan yang mudah digunakan di dalam mencapai tujuan dan konteksnya. Ergonomik juga merupakan bidang kajian berkaitan hubungan manusia dengan persekitaran kerjanya. Dalam pendidikan ia mengambil kira dan menitik beratkan pandangan,keselesaan dan perasaan pengguna komputer. Sumbangan ergonomik tertumpu dalam aspek mereka bentuk peralatan atau perkakasan yang diguna pakai berbeza mengikut tujuan, fungsi dan keadaan. Kriteria yang baik dalam bidang ergonomik ini adalah dapat membantu pembangunan sistem dari segi: (http://kudeed.tblog.com)
1.Boleh berfungsi dengan betul dan lengkap menjadi harapan semua pengguna.

2.Efisyen samada dari segi masa mahupun sumber dan ekonomikal pada kos yang minimum.

3.Kebolehpercayaan dan terjamin dari segi semua perkakasan atau perisian berfungsi sepertimana yang sepatutnya.

4.Keselamatan daripada pencerobohan oleh pengguna luar dan dalam yang tidak sah.

5.Mudahalih adalah sistem yang boleh ditingkatkan mengikut peredaran teknologi serta perubahan yang berlaku.

6.Boleh diguna semula serta rekabentuk sistem yang mengambilkira konsep kelas dan perwarisan akan menghasilkan komponen guna semula oleh lain-lain sistem.

UNIVERSAL DESIGN OF LEARNING

Artikel yang bertajuk Universal Design of Learning : Curriculum, Technology and Accessibility, yang di tulis oleh Erlandson Robert F., isi kandungan artikel ini merupakan satu laporan yang disediakan untuk ED-MEDIA 2002 World Conference of Education, Multimedia, Hypermedia, Telecommunication Proceeding yang telah diadakan di Denver, Colorado pada 24-29 Jun 2002. Secara umumnya, laporan ini menyentuh berkaitan dengan kaedah dalam pembelajaran dengan lebih berkesan. Di samping itu juga maklumat yang terdapat didalam artikel ini juga boleh digunakan bagi membimbing tenaga pengajar dalam menyediakan bahan bantu mengajar atau kaedah untuk sesuatu pembelajaran dengan lebih berkesan dan afektif.
Utilize Design of Learning (UDL), merupakan salah satu konsep yang telah ditekan di dalam laporan ini bagi membantu tenaga pengajar dalam mencapai objektif pengajaran. Di dalam UDL ini juga, terdapat beberapa elemen dan pendekatan yang telah di titik beratkan dalam menjana serta memastikan proses pembelajaran dan pengajaran berjalan dengan bersistematik dan lebih afektif berbanding dengan kaedah sebelumnya. Elemen-elemen yang di diambil kira di dalam UDL adalah seperti environmental supports, participants abilities, dan task requirements.
Prinsip dan keperluan asas yang terdapat di dalam UDL adalah menekankan perkara-perkara seperti berikut, works synergistically: equitability, ergonomic soundness, perceptibility, cognitive soundness, error management, flexibility and stability / predictability. Di mana, prinsip asas ini di gunakan dalam merekabentuk bahan bantu mengajar atau kaedah pembelajaran. Bagi artikel ini, penekanan diberikan kepada pengalam pelajar dan tenaga pengajar dalam menggunakan alat bantu mengajar, sebagai contoh di dalam makmal atau bengkel kejuruteraan.
Setelah kita melihat secara umumnya berkaitan dengan dengan artikel ini, apa yang dapat saya rangkumkan secara ringkas, berkaitan dengan maklumat yang terkandung di dalam artikel tersebut, adalah berkaitan dengan proses penyediaan dan penekanan atau tumpuan yang harus diberi perhatian oleh tenaga pengajar sebelum merekabentuk bahan bantu mengajar atau kaedah pembelajaran yang lebih afektif dan berkesan dari semua aspek yang dinyatakan dalam UDL.
Penggunaan Alat Bahan Bantu Mengajar (ABBM) secara terancang dan teratur akan menjadikan pengajaran lebih bermakna dan mendatangkan kesan positif di dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P). Apa yang ditekan dalam UDL juga berkaitan dengan penyedian alat bahan bantu mengajar yang lebih berkesan yang merangkumi aspek UDL itu sendiri seperti equitability, ergonomic soundness, perceptibility, cognitive soundness, error management, flexibility and stability / predictability. Perkara ini juga disokong oleh Mok Song Sang, (1991) yang menyatakan pemilihan media pengajaran yang terancang dan sesuai akan menjadikan proses P&P lebih bermakna dan menghasilkan kesan yang lebih positif.
Oleh itu di dalam proses penyampaian sesuatu pengajaran, penggunaan ABBM yang sesuai amatlah penting. Penggunaan ABBM dalam melaksanakan proses P&P menjadi satu kemestian dalam meningkatkan mutu pencapaian sesuatu bidang pembelajaran. Penggunaan ABBM pada masa kini banyak membantu guru dalam menyampaikan isi kandungan pelajaran mereka. Kecekapan guru dalam menggunakan ABBM akan memberi dorongan kepada guru mengekalkan minat pelajar untuk mengikuti perkembangan pelajaran.
Penggunaan ABBM seperti projektor lutsinar, video, powerpoint, modul, carta, model, gambar dan sebagainya sememangnya banyak membawa kesan baik kepada proses pendidikan jika dibandingkan dengan pengajaran konvensional yang lebih memberi penekanan terhadap penggunaan konsep ‘chalk and talk’ sahaja. Penggunaan ABBM akan memberi banyak kelebihan kepada guru dalam proses P&P. Ini dapat dilihat dari segi kefahaman pelajar, penjimatan masa dan juga berlaku perubahan tingkah laku pelajar. Dengan penghasilan model pembelajaran dengan mengikut elemen yang terdapat di dalam ULD, diharapkan guru dapat memenuhi pembelajaran pelajar dan juga memperkembangkan pengetahuan, pengalaman dan kendiri yang terdapat dalam diri mereka.

OKU & IT

Projek Koridor Raya Multimedia di mana ia telah diumumkan oleh Datuk Seri Dr. Mahathir, Perdana Menteri Malaysia ketika itu semasa merasmikan Persidangan Multimedia Asia pada 1hb Ogos 1996. Pengumuman ini secara tidak langsung menunjukkan Malaysia sedang menuju ke arah dunia multimedia dan pada masa yang sama menyediakan diri dalam menghadapi zaman maklumat ini. Justeru itu, bagi menyokong hasrat kerajaan salah satu usaha yang boleh dilakukan oleh rakyat Malaysia kini ialah memastikan Malaysia mampu menjadi sebuah negara maju menjelang 2020 dengan terlibat dalam pembangunan teknologi maklumat (IT) sesuai dengan tema ‘Keranamu Malaysia’.

Sejak negara kita merdeka, kerajaan dapat memajukan negara dengan pesat. Semua pihak termasuk orang kurang upaya (OKU) turut terlibat dalam pembangunan negara termasuklah kemajuan dalam bidang teknologi maklumat. Terdapat ramai anak Malaysia yang telah memilih bidang teknologi maklumat dan kemudian menyumbang bakti dalam pembangunan bidang itu di negara ini (Mohd Ridzwan, 2001). Kelebihan anak tempatan dalam menguasai teknologi maklumat kini turut diiktiraf oleh syarikat multinasional seperti Intel Corporation di mana makmal mereka bentuk cip mikropemproses syarikat itu di Malaysia akan dikendali oleh anak tempatan. Teori modal manusia menyatakan pelaburan dalam pengajian dan latihan itu adalah penting bagi mencapai kemasyarakatan dan kemajuan ekonomi. Populasi golongan kurang upaya mampu menjadi aset penting negara dan bukan satu liabiliti jika diberikan pendidikan dan peluang pekerjaan (Mustapha, 2004).

Kerajaan bangga golongan OKU di negara ini sentiasa berpandangan positif dan berkeyakinan bahawa hak dan kehidupan mereka boleh diubah sekiranya mereka berusaha dan diberi peluang memajukan diri mereka khusus dalam bidang pendidikan (Mahathir, 2002). Oleh itu, kerajaan menggalakkan seluruh rakyat termasuk golongan orang kurang upaya beralih kepada teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk menentukan golongan orang kurang upaya tidak ketinggalan dalam era ICT.

Perjuangan masyarakat dunia untuk mewujudkan “Masyarakat Untuk Semua” yang berteraskan atau selari dengan hak asasi manusia, khususnya bagi golongan orang kurang upaya, yang menekankan betapa pentingnya penyertaan dan pembabitan mereka dalam semua aspek kehidupan. Antara salah satu isu yang perlu diberi perhatian serius ialah pendedahan orang kurang kurang upaya kepada teknologi maklumat dan komunikasi selaras dengan era teknologi maklumat . Dalam hal ini, kerajaan ingin menyeru golongan orang kurang upaya supaya melengkapkan diri dengan kemahiran komputer bagi membolehkan mereka bersaing dan menceburi segala bidang IT seperti tele-marketing, e-dagang dan sebagainya (Siti Zaharah, 2001).

PANDANGAN TERHADAP ISU DAN CABARAN TEKNOLOGI PENDIDIKAN DALAM PENDIDIKAN DI MALAYSIA

Oleh,
Mohd Hasril Amiruddin, Mas Nida Md Khambari & Norsidah T Mohamed
Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia


ABSTRAK

Teknologi memainkan peranan yang sangat penting serta seiring dalam perkembangan dan kemajuan dunia. Pelbagai teknologi baru muncul bagi memenuhi keperluan semasa. Ledakan dan perkembangan teknologi telah membawa implikasi yang besar dalam kehidupan manusia, termasuklah dalam bidang pendidikan. Pengenalan beberapa teknologi yang baru ini merupakan satu inovasi (Sekolah Bestari, PPSMI, CDRI, TV Pendidikan dan sebagainya). Menurut Rogers (1995), inovasi yang baik menghasilkan faedah yang lebih baik berbanding keadaan sebelumnya, sama ada dari segi kos, matlamat, dan sebagainya. Inovasi yang baik juga dapat meringkaskan perkara yang agak kompleks dan seterusnya mudah dilaksanakan. Selain itu, inovasi perlu mudah diterima orang sebagai sesuatu yang perlu dan bagus untuk diri sendiri dan organisasinya. Sesuatu inovasi yang diperkenalkan boleh dikatakan diterima dan dilaksanakan (adoption and diffusion) setelah lebih 84 peratus komuniti menerima dan mengamalkan inovasi itu (Yusuf Hashim, 1998). Sehubungan dengan itu, kejayaan sesuatu inovasi banyak bergantung pada faktor penyebaran inovasi tersebut. Berdasarkan kajian literatur yang telah dijalankan ke atas beberapa artikel, berkenaan inovasi yang telah dibangunkan dalam memastikan kualiti pendidikan negara setanding dengan negara maju di dunia. Fokus utama perbincangan adalah kepada bidang pendidikan yang akan menyentuh beberapa aspek berkaitan inovasi yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran oleh para pendidik. Dengan itu, isu yang sering diperkatakan ialah, inovasi yang dihasilkan tidak kekal lama (sustainability) dalam penyebaran dan penggunaan dalam pendidikan negara.
P/S: untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila emai kan pada mohdhasril@gmail.com

“TINJAUAN TERHADAP PENGGUNAAN SISTEM PENGURUSAN SEKOLAH PERIDOT (SPS) DALAM KALANGAN GURU-GURU SEKOLAH MENENGAH JENIS KEBANGSAAN PULAU SEBANG, MELAKA


Oleh,
Mohd Hasril Amiruddin, Lim Seh Hoe & Nurizah Saleh
Universiti Putra Malaysia
ABSTRAK
Penggunaan teknologi dalam pendidikan negara hendaklah seiring dengan falsafah pendidikan negara. Oleh itu, penggunaan teknologi bukan sekadar hanya digunakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran, tetapi ianya juga amat praktikal digunakan dalam menguruskan maklumat pelajar. Sehubungan itu, Bagi memastikan tahap keberkesanan inovasi yang telah dibangunkan, para guru yang terlibat dalam menggunakan inovasi tesebut hendak menerima dengan positif, terutamanya di dalam menambahbaik sistem pendidikan. Oleh itu, fokus utama di dalam kertas kerja ini adalah melihat dan memberi pandangan berkaitan penggunaan dan keberkesanan Sistem Pengurusan Sekolah Peridot (SPS) atau School Peridot Managament System (SMS) di Sekolah Jenis Kebangsaan Pulau Sebang, Melaka. Menurut Yusuf Hashim (1998), sesuatu inovasi yang diperkenalkan boleh dikatakan diterima dan dilaksanakan (adoption and diffusion) setelah lebih 84 peratus komuniti menerima. serta mengamalkan inovasi itu. Oleh itu, hasil kajian yang telah diperolehi menunjukkan, secara keseluruhannya guru-guru dapat menggunaan sistem pengurusan sekolah (SPS) dalam pengurusan maklumat pelajar di sekolah dengan baik.
P/S: untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila email pada mohdhasril@gmail.com

SEJAUH MANA KERELEVANAN TEORI PENYEBARAN INOVASI ROGERS?

Sesuatu inovasi yang diperkenalkan boleh dikatakan diterima dan dilaksanakan (adoption and diffusion) setelah lebih 84 peratus komuniti menerima dan mengamalkan inovasi itu (Yusuf Hashim, 1998). Sehubungan dengan itu, kejayaan sesuatu inovasi banyak bergantung pada faktor penyebaran inovasi tersebut. Teori penyebaran Inovasi yang akan dibincangkan dalam tugasan ini ialah Teori Penyebaran Rogers.
Berdasarkan kajian literatur yang telah dijalankan ke atas beberapa artikel, perbahasan berkenaan kerelevanan teori penyebaran inovasi Rogers akan kami bincangkan. Fokus utama perbincangan adalah kepada bidang pendidikan. Perbincangan ini akan menyentuh beberapa aspek berkaitan teori penyebaran inovasi Rogers oleh beberapa orang penyelidik di seluruh dunia.
Penyebaran inovasi ialah suatu proses bagaimana inovasi diedarkan dan disebarkan melalui saluran komunikasi tertentu kepada ahli-ahli dalam suatu sistem sosial. Dalam hal ini, Rogers (2003) menegaskan bahawa penerimaan sesuatu inovasi bergantung pada empat unsur iaitu Atribut/ciri inovasi, Saluran komunikasi, Masa dan Sistem Sosial. Menurut Rogers (1995), terdapat empat teori utama yang berkaitan dengan penyebaran inovasi iaitu :
Teori Proses Membuat Keputusan Inovasi (The Innovation-Decision Process Theory)
Teori Kategori Penerimaan Inovasi (Individual Innovativeness Theory)
Teori Peringkat Penerimaan Inovasi (Theory of Rate of Adoption)
Teori Atribut Inovasi (Theory of Perceived Attributes)
Teori Penyebaran Inovasi oleh Everett M. Rogers dalam bukunya, ’Diffusion and Innovation’ sering digunakan sebagai rangka kerja penyelidikan oleh penyelidik di seluruh dunia. Menurut Sherry & Gibson dalam Ismail Sahin (2006), kajian tentang penggunaan produk atau inovasi telah dijalankan lebih daripada 30 tahun dahulu. Kebanyakan penyelidikan ini telah menggunakan kerangka kerja ’framework’ teori penyebaran Inovasi Rogers dalam penyelidikan mereka.

Ismail Sahin dan Ann Thompson (2006) menggunakan kerangka Teori Penyebaran Inovasi Rogers bagi mengumpulkan data dan sebagai rangka kerja untuk menjalankan dan menganalisis kajian mereka terhadap penggunaan komputer di kalangan ahli atau tenaga pengajar di Fakulti Pendidikan di sebuah Universiti di Turki. Dalam kajian ini, mereka menggunakan Teori Rogers untuk melihat penglibatan unsur-unsur percubaan (triability) dan pemerhatian (observability) sebagai sebahagian daripada sokongan sosial (social support) bagi inovasi yang diperkenalkan. Kedua-dua unsur ini merupakan kunci kepada aspek motivasi dalam penggunaan dan penyebaran teknologi.

Kilmon dan Fagan (2007) juga menggunakan Teori Penyebaran Rogers untuk melihat penggunaan Course Management Software (CMS) di kalangan pelajar fakulti kejururawatan bagi memahami dengan lebih mendalam tentang proses penerimaan teknologi. Dalam kajian ini, mereka telah memfokuskan terhadap kesan dan akibat (consequences) terhadap amalan penggunaan teknologi CMS ini. Mereka menggunakan Teori Rogers iaitu terdapat tiga dimensi konsekuen yang perlu dianalisis iaitu :

1. Sesuai atau tidak sesuai (desirable versus undesirable consequences).
2. Secara langsung atau secara tidak langsung (direct versus indirect consequences).
3. Dijangka lawan akibat-akibat tidak dijangka (anticipated versus unanticipated consequences).

Satu lagi kajian yang menggunakan teori penyebaran Rogers dijalankan oleh Isman Aytekin (2005) yang menjalankan kajian terhadap pendidikan jarak jauh di Utara Cyprus. Kajian beliau mengambil kira empat elemen dalam penyebaran inovasi iaitu atribut inovasi, saluran komunikasi, masa dan sistem sosial. Beliau melihat ke empat-empat elemen tersebut sangat berpengaruh terhadap penerimaan dan implementasi pendidikan jarak jauh di Utara Cyprus.
Contoh lain yang jelas, berkaitan dengan kerelevanan penerapan Teori Rogers daripada hasil kajian yang dijalankan oleh Shih & Zvacek (1991), di mana mereka mengintegrasikan tiga teori utama iaitu, Teori Pembangunan Kurikulum (Tyler, 1949), Teori Sistem (Banathy, 1973) dan Teori Penyebaran Inovasi (Rogers,1983), dalam membentuk soalan kaji selidik yang terperinci, bagi melihat tahap keberkesanan berkaitan dengan kurikulum pendidikan pembelajaran jarak jauh yang telah di laksanakan di Taiwan National Open University (TNOU).

Hasil daripada kajian tersebut, penyelidik mendapati faktor utama yang mempengaruhi tahap keberkesanan di dalam sistem pembelajaran jarak jauh ini adalah faktor persekitaran dan sosial, ini secara tidak langsung peranan Teori Rogers menilai dan mengesan punca yang mempengaruhi tahap keberkesanan pembelajaran jarak jauh di TNOU. Dengan ini, jelas menunjukkan bahawa penerapan dan penggunaan Teori Rogers bukan sekadar dalam penyebaran inovasi, tetapi ianya juga melibatkan proses penilaian terhadap sesuatu penyebaran inovasi.

Di dalam skop yang sama, berkaitan dengan pembangunan model atau sesuatu elemen di dalam pembangunan kurikulum, kegunaan Teori Rogers juga dapat membantu dalam proses membuat keputusan terutamanya di dalam pendidikan. Di dalam silibus pembelajaran, pelajar diminta untuk menyediakan portfolio projek, terutamanya kepada pelajar kejuruteraan. Oleh itu, dengan menggunakan salah satu teori sokongan penyebaran Rogers iaitu Teori Proses Membuat Keputusan Inovasi (The Innovation Decision Process Theory), satu inovasi (modul portfolio) dapat dibagunkan.

Ianya disokong oleh kajian yang telah dijalankan oleh Terheggen, Prabhu dan Lubinescus (2000), di dalam kajian tersebut terdapat 3 teori yang telah di integrasikan bagi membina satu konsep asas yang akan digunakan oleh pelajar bidang elektronik dalam menghasilkan portfolio projek mereka dengan baik dan secara tidak langsung portfolio yang memenuhi keteria tertentu boleh digunakan sebagai bahan rujukan oleh guru atau bahagian yang berkaitan.

Teori-teori yang telah di integrasikan di dalam kajian tersebut adalah seperti Student Integration Model Theory (V. Tinto, 1987), Theory of Involvement (A.Astin, 1985) dan The Innovation Decision Process Theory (E. Rogers, 1995). Kerelevanan Teori Proses Membuat Keputusan Inovasi (The Innovation Decision Process Theory) oleh Rogers adalah sangat membantu dan realistik, walaupun ianya telah dicipta pada masa yang agak lama, tetapi masih sesuai digabungkan dan diselaraskan dengan teori-teori yang lain dalam membentuk konsep, model dan inovasi yang boleh digunakan sehingga ke hari ini terutamanya dalam pendidikan.

Monday, October 13, 2008

KIMPALAN & FABRIKASI LOGAM

Kimpalan merupakan kaedah sambungan yang penting yang sering digunakan di dalam bidang kejuruteraan hari ini terutamanya pada struktur-struktur bangunan, pelantar minyak, pembinaan kapal , industri automotif dan sebagainya. Dalam bab ini kita akan mempelajari sebahagian kecil daripada teknologi kimpalan iaitu:
• Jenis-jenis kimpalan
• Kaedah pemeriksaan kualiti kimpalan
• Badan piawai
• Analisis daya dan tegasan pada logam kimpal
• Penentuan saiz kimpalan

PIAWAIAN
Dalam amalan sebenar kejuruteraan, kita perlu menyemak garispanduan mengenai kimpalan yang telah disediakan oleh badan-badan piawai berikut:
• American Welding Society (AWS)
• American Institute of Steel Construction (AISC)
• American Society for Testing Materials (ASTM)
• American Society of Mechanical Engineers (ASME)
• American Petroleum Institute (API)
• British Standards (BS) - BS : 4360, 639, 1719, 1856, 2642, 499, etc.

LATIHAN

Oleh itu, di sini saya ada menyediakan soalan yang berkaitan dengan kimpalan & fabrikasi logam sila ke laman web dibawah bagi mencuba menjawab latihan. [untuk perhatian DR WONG SU LUAN]

LATIHAN 1 : JENIS BEBAN
[ http://www.geocities.com/hasrilmohd/index_1.htm ]

LATIHAN 2 : JENIS KIMPALAN
[ http://www.geocities.com/hasrilmohd/index_2.htm ]

LATIHAN 3 : JENIS SAMBUNGAN
[ http://www.geocities.com/hasrilmohd/index_3.htm ]

LATIHAN 4 : PIAWAIAN DALAM KIMPALAN[ http://www.geocities.com/hasrilmohd/index_4.htm ]

LATIHAN 5 : KIMPALAN & FABRIKASI LOGAM
[ http://www.geocities.com/hasrilmohd/index_5.htm ]