Monday, September 15, 2008

Pandangan Guru Terhadap Penggunaan Komputer Dalam Pengajaran & Pembelajaran

Sistem pendidikan di Malaysia adalah berteraskan Falsafah Pendidikan Negara yang bertujuan memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang harmoni dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani. Ee Ah Meng (1999), mengatakan menurut Pusat Perkembangan Kurikulum, Falsafah Pendidikan Negara berhasrat melahirkan masyarakat Malaysia yang berakhlak mulia dan sempurna yang seterusnya akan menjadi warganegara yang baik serta memiliki ciri-ciri seperti mempercayai dan mematuhi Tuhan, berilmu pengetahuan, berketrampilan, bermoral tinggi, bersahsiah seimbang, bersedia menyumbang kepada masyarakat, agama, bangsa, dan negara, serta bertanggungjawab kepada diri, agama, bangsa, masyarakat, dan negara.
Langkah yang telah diambil oleh Kementerian Pelajaran Malaysia menggabungkan teknologi maklumat dalam sistem pendidikan negara dianggap suatu usaha yang murni, yang mampu memperkasakan dan memantapkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Seandainya hal ini mampu diaplikasikan seperti yang dikehendaki, ia mampu meningkatkan motivasi dan minat pelajar terhadap sesuatu mata pelajaran yang disampaikan di sekolah.
Menurut Abdul Rasid dan Arba’ie Sujud (2001) Kementerian Pelajaran telah memperkenalkan komputer sebagai bentuk pendidikan abad ke-21 dengan sasaran hampir keseluruhannya akan menggunakan teknologi ini dalam pengajaran dan pembelajaran. Ini bermakna transformasi positif dalam bidang pendidikan akan berlaku iaitu guru dan buku teks adalah sumber maklumat dan pemberi maklumat kepada bentuk maya. Selain dari itu juga, guru yang mengaplikasikan penggunaan komputer dalam pengajaran dan pambelajaran di bilik darjah adalah berpotensi memberikan suatu pengajaran yang inovatif serta kreatif.
Peterson and Peterson (1983), menyatakan sejumlah besar projek pendidikan berbantukan komputer dan penyelidikan eksperimental di Amerika Syarikat dan di negara-negara lain telah membuktikan bahawa komputer berupaya memberikan pengajaran yang berinovatif dan efektif. Di negara kita pembelajaran melalui komputer merupakan suatu bidang baru dalam sistem pendidikan negara iaitu melalui pewujudan ‘Sekolah Bestari’. Projek perintis Sekolah Bestari ini telah dimulakan pada tahun 1999 di 90 buah sekolah terpilih.
Oleh itu, sekiranya anda seorang seorang pendidik diharapakan anda boleh menjawab soalselidik diatas talian, yang mana data dan maklumat diperolehi akan digunakan sebagai data rujukan dalam memperbaiki sistem penyampaian dalam pengajaran dan pembelajaran.
Klik disini untuk menjawab soalselidik diatas talian:
“kerjasama anda amat dihargai dalam memperkasakan sistem pendidikan negara”
PERHATIAN: Kepada Dr. Wong Su Luan, alamat yang sebelum ini tidak berfungsi, oleh itu Dr. boleh gunakan alamat ini untuk menjawab soalselidik diatas talian. HARAP MAKLUM
Rujukan:
Abdul Rasid Jamian dan Arba’ie Sujud (2001). “Integrasi Media Pengajaran Bahasa dan Sastera”. Terbitan pertama. Kuala Lumpur: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. m.s. 16-30, 50-54, 68-71, 76-82.
Ee Ah Meng (1999). “PENDIDIKAN DI MALAYSIA I - Falsafah Pendidikan, Guru dan Sekolah”. Edisi kedua. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. m.s. 88-94, 100-106, 109-124, 172-179,247-258, 265-266.
Peterson and Peterson (1983). “Putting Computer Power in School: A Step by Step Approach”. New York: Prentice Hall. m.s. 34-47.

No comments: