Friday, November 7, 2008

OKU & IT

Projek Koridor Raya Multimedia di mana ia telah diumumkan oleh Datuk Seri Dr. Mahathir, Perdana Menteri Malaysia ketika itu semasa merasmikan Persidangan Multimedia Asia pada 1hb Ogos 1996. Pengumuman ini secara tidak langsung menunjukkan Malaysia sedang menuju ke arah dunia multimedia dan pada masa yang sama menyediakan diri dalam menghadapi zaman maklumat ini. Justeru itu, bagi menyokong hasrat kerajaan salah satu usaha yang boleh dilakukan oleh rakyat Malaysia kini ialah memastikan Malaysia mampu menjadi sebuah negara maju menjelang 2020 dengan terlibat dalam pembangunan teknologi maklumat (IT) sesuai dengan tema ‘Keranamu Malaysia’.

Sejak negara kita merdeka, kerajaan dapat memajukan negara dengan pesat. Semua pihak termasuk orang kurang upaya (OKU) turut terlibat dalam pembangunan negara termasuklah kemajuan dalam bidang teknologi maklumat. Terdapat ramai anak Malaysia yang telah memilih bidang teknologi maklumat dan kemudian menyumbang bakti dalam pembangunan bidang itu di negara ini (Mohd Ridzwan, 2001). Kelebihan anak tempatan dalam menguasai teknologi maklumat kini turut diiktiraf oleh syarikat multinasional seperti Intel Corporation di mana makmal mereka bentuk cip mikropemproses syarikat itu di Malaysia akan dikendali oleh anak tempatan. Teori modal manusia menyatakan pelaburan dalam pengajian dan latihan itu adalah penting bagi mencapai kemasyarakatan dan kemajuan ekonomi. Populasi golongan kurang upaya mampu menjadi aset penting negara dan bukan satu liabiliti jika diberikan pendidikan dan peluang pekerjaan (Mustapha, 2004).

Kerajaan bangga golongan OKU di negara ini sentiasa berpandangan positif dan berkeyakinan bahawa hak dan kehidupan mereka boleh diubah sekiranya mereka berusaha dan diberi peluang memajukan diri mereka khusus dalam bidang pendidikan (Mahathir, 2002). Oleh itu, kerajaan menggalakkan seluruh rakyat termasuk golongan orang kurang upaya beralih kepada teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk menentukan golongan orang kurang upaya tidak ketinggalan dalam era ICT.

Perjuangan masyarakat dunia untuk mewujudkan “Masyarakat Untuk Semua” yang berteraskan atau selari dengan hak asasi manusia, khususnya bagi golongan orang kurang upaya, yang menekankan betapa pentingnya penyertaan dan pembabitan mereka dalam semua aspek kehidupan. Antara salah satu isu yang perlu diberi perhatian serius ialah pendedahan orang kurang kurang upaya kepada teknologi maklumat dan komunikasi selaras dengan era teknologi maklumat . Dalam hal ini, kerajaan ingin menyeru golongan orang kurang upaya supaya melengkapkan diri dengan kemahiran komputer bagi membolehkan mereka bersaing dan menceburi segala bidang IT seperti tele-marketing, e-dagang dan sebagainya (Siti Zaharah, 2001).

No comments: