Friday, November 7, 2008

SEJAUH MANA KERELEVANAN TEORI PENYEBARAN INOVASI ROGERS?

Sesuatu inovasi yang diperkenalkan boleh dikatakan diterima dan dilaksanakan (adoption and diffusion) setelah lebih 84 peratus komuniti menerima dan mengamalkan inovasi itu (Yusuf Hashim, 1998). Sehubungan dengan itu, kejayaan sesuatu inovasi banyak bergantung pada faktor penyebaran inovasi tersebut. Teori penyebaran Inovasi yang akan dibincangkan dalam tugasan ini ialah Teori Penyebaran Rogers.
Berdasarkan kajian literatur yang telah dijalankan ke atas beberapa artikel, perbahasan berkenaan kerelevanan teori penyebaran inovasi Rogers akan kami bincangkan. Fokus utama perbincangan adalah kepada bidang pendidikan. Perbincangan ini akan menyentuh beberapa aspek berkaitan teori penyebaran inovasi Rogers oleh beberapa orang penyelidik di seluruh dunia.
Penyebaran inovasi ialah suatu proses bagaimana inovasi diedarkan dan disebarkan melalui saluran komunikasi tertentu kepada ahli-ahli dalam suatu sistem sosial. Dalam hal ini, Rogers (2003) menegaskan bahawa penerimaan sesuatu inovasi bergantung pada empat unsur iaitu Atribut/ciri inovasi, Saluran komunikasi, Masa dan Sistem Sosial. Menurut Rogers (1995), terdapat empat teori utama yang berkaitan dengan penyebaran inovasi iaitu :
Teori Proses Membuat Keputusan Inovasi (The Innovation-Decision Process Theory)
Teori Kategori Penerimaan Inovasi (Individual Innovativeness Theory)
Teori Peringkat Penerimaan Inovasi (Theory of Rate of Adoption)
Teori Atribut Inovasi (Theory of Perceived Attributes)
Teori Penyebaran Inovasi oleh Everett M. Rogers dalam bukunya, ’Diffusion and Innovation’ sering digunakan sebagai rangka kerja penyelidikan oleh penyelidik di seluruh dunia. Menurut Sherry & Gibson dalam Ismail Sahin (2006), kajian tentang penggunaan produk atau inovasi telah dijalankan lebih daripada 30 tahun dahulu. Kebanyakan penyelidikan ini telah menggunakan kerangka kerja ’framework’ teori penyebaran Inovasi Rogers dalam penyelidikan mereka.

Ismail Sahin dan Ann Thompson (2006) menggunakan kerangka Teori Penyebaran Inovasi Rogers bagi mengumpulkan data dan sebagai rangka kerja untuk menjalankan dan menganalisis kajian mereka terhadap penggunaan komputer di kalangan ahli atau tenaga pengajar di Fakulti Pendidikan di sebuah Universiti di Turki. Dalam kajian ini, mereka menggunakan Teori Rogers untuk melihat penglibatan unsur-unsur percubaan (triability) dan pemerhatian (observability) sebagai sebahagian daripada sokongan sosial (social support) bagi inovasi yang diperkenalkan. Kedua-dua unsur ini merupakan kunci kepada aspek motivasi dalam penggunaan dan penyebaran teknologi.

Kilmon dan Fagan (2007) juga menggunakan Teori Penyebaran Rogers untuk melihat penggunaan Course Management Software (CMS) di kalangan pelajar fakulti kejururawatan bagi memahami dengan lebih mendalam tentang proses penerimaan teknologi. Dalam kajian ini, mereka telah memfokuskan terhadap kesan dan akibat (consequences) terhadap amalan penggunaan teknologi CMS ini. Mereka menggunakan Teori Rogers iaitu terdapat tiga dimensi konsekuen yang perlu dianalisis iaitu :

1. Sesuai atau tidak sesuai (desirable versus undesirable consequences).
2. Secara langsung atau secara tidak langsung (direct versus indirect consequences).
3. Dijangka lawan akibat-akibat tidak dijangka (anticipated versus unanticipated consequences).

Satu lagi kajian yang menggunakan teori penyebaran Rogers dijalankan oleh Isman Aytekin (2005) yang menjalankan kajian terhadap pendidikan jarak jauh di Utara Cyprus. Kajian beliau mengambil kira empat elemen dalam penyebaran inovasi iaitu atribut inovasi, saluran komunikasi, masa dan sistem sosial. Beliau melihat ke empat-empat elemen tersebut sangat berpengaruh terhadap penerimaan dan implementasi pendidikan jarak jauh di Utara Cyprus.
Contoh lain yang jelas, berkaitan dengan kerelevanan penerapan Teori Rogers daripada hasil kajian yang dijalankan oleh Shih & Zvacek (1991), di mana mereka mengintegrasikan tiga teori utama iaitu, Teori Pembangunan Kurikulum (Tyler, 1949), Teori Sistem (Banathy, 1973) dan Teori Penyebaran Inovasi (Rogers,1983), dalam membentuk soalan kaji selidik yang terperinci, bagi melihat tahap keberkesanan berkaitan dengan kurikulum pendidikan pembelajaran jarak jauh yang telah di laksanakan di Taiwan National Open University (TNOU).

Hasil daripada kajian tersebut, penyelidik mendapati faktor utama yang mempengaruhi tahap keberkesanan di dalam sistem pembelajaran jarak jauh ini adalah faktor persekitaran dan sosial, ini secara tidak langsung peranan Teori Rogers menilai dan mengesan punca yang mempengaruhi tahap keberkesanan pembelajaran jarak jauh di TNOU. Dengan ini, jelas menunjukkan bahawa penerapan dan penggunaan Teori Rogers bukan sekadar dalam penyebaran inovasi, tetapi ianya juga melibatkan proses penilaian terhadap sesuatu penyebaran inovasi.

Di dalam skop yang sama, berkaitan dengan pembangunan model atau sesuatu elemen di dalam pembangunan kurikulum, kegunaan Teori Rogers juga dapat membantu dalam proses membuat keputusan terutamanya di dalam pendidikan. Di dalam silibus pembelajaran, pelajar diminta untuk menyediakan portfolio projek, terutamanya kepada pelajar kejuruteraan. Oleh itu, dengan menggunakan salah satu teori sokongan penyebaran Rogers iaitu Teori Proses Membuat Keputusan Inovasi (The Innovation Decision Process Theory), satu inovasi (modul portfolio) dapat dibagunkan.

Ianya disokong oleh kajian yang telah dijalankan oleh Terheggen, Prabhu dan Lubinescus (2000), di dalam kajian tersebut terdapat 3 teori yang telah di integrasikan bagi membina satu konsep asas yang akan digunakan oleh pelajar bidang elektronik dalam menghasilkan portfolio projek mereka dengan baik dan secara tidak langsung portfolio yang memenuhi keteria tertentu boleh digunakan sebagai bahan rujukan oleh guru atau bahagian yang berkaitan.

Teori-teori yang telah di integrasikan di dalam kajian tersebut adalah seperti Student Integration Model Theory (V. Tinto, 1987), Theory of Involvement (A.Astin, 1985) dan The Innovation Decision Process Theory (E. Rogers, 1995). Kerelevanan Teori Proses Membuat Keputusan Inovasi (The Innovation Decision Process Theory) oleh Rogers adalah sangat membantu dan realistik, walaupun ianya telah dicipta pada masa yang agak lama, tetapi masih sesuai digabungkan dan diselaraskan dengan teori-teori yang lain dalam membentuk konsep, model dan inovasi yang boleh digunakan sehingga ke hari ini terutamanya dalam pendidikan.

No comments: